Subhanallah, baiknya Allah swt kepada kita, ganjaran yang diberi sangat banyak, tidak ternilai dengan dunia ini walau sedikit pun. Dengan sedikit amalan yang kita buat, ganjarannya berlipat kali ganda.
Sudahkah Aku Berterima Kasih ?
Pernahkah kita terfikir, layakkah kita untuk menerima ganjaran daripada ALLAH swt, sedangkan segala apa yang kita miliki hari ini, bukankah dari ALLAH swt ?. Pakaian, makan, tempat tinggal, harta, wang ringgit, keselesaan, kecerdikan diri, kesihatan dan banyak lagi nikmat yang kadang-kadang kita sendiri pun terlupa. Bukankah status kita sebagai hamba ALLAH swt, sepatutnya kita membalas segala apa yang ALLAH swt berikan kepada kita dengan melakukan ketaatan berterusan kepadanya, tanpa mengharapkan apa-apa ganjaran walaupun secebis.
Maha pemurahnya Allah swt, Maha Penyayangnya Allah swt, Allah swt tetap memberikan ganjaran kepada setiap amalan kita, walaupun sepatutnya, kita tidak layak sedikit pun, untuk menerima apa-apa ganjaran daripada Allah swt.
Sudahkah Aku Berterima Kasih ?
Aku juga selalu terlupa, segala amalan yang aku lakukan ini, tidak pernah sedikit pun akan dapat membalas segala nikmat yang engkau berikan, hatta kurniaan sepasang mata ini pun, tidak dapat dibalas oleh hambamu ini, Ya Allah.
Ya Allah, walaupun dosaku bergunung-gunung banyaknya, tidak terbilang kiranya, dan aku sering sahaja melakukan dosa, tetapi engkau, Ya Allah, masih sudi nak mengampunkan dosa hambamu ini, yang memang sering melupakanmu.
No comments:
Post a Comment